Wednesday, 31 July 2013

SURAH ALI IMRAN

Entry ini adalah salinan dari BLOG INI 

senang untuk rujukan aku nanti

terima kasih kepada empunya blog untuk perkongsian ilmu ini

 
 
 
SURAH ALI IMRAN (200 ayat) – ‘KELUARGA `IMRAN’

DITURUNKAN DI MADINAH


Surah Ali ‘Imran ini mempunyai 200 ayat. Dinamakan Ali Imran kerana memuat kisah keluarga Imran yang di dalam kisahnya disebutkan kelahiran Nabi Isa, persamaannya dengan Nabi Adam, kenabian dan beberapa mukjizatnya, serta disebut pula kelahiran Maryam puteri Imran, ibunda kepada Nabi Isa.
Surah Ali Imran ini dan surah Al Baqarah dinamakan "Az Zahrawaani" (dua yang cemerlang), kerana kedua-dua surah ini menyingkapkan hal-hal yang disembunyikan oleh para Ahli Kitab, seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa, kedatangan Nabi Muhammad dan sebagainya.
FADILATNYA:-
1. Sabda Rasulullah saw: “Barangsiapa mempelajari, menghafaz dan mengamalkan surah ini, dia mendapat balasan yang besar di sisi Allah SWT. Kelak di akhirat, surah ini akan berjalan dengan surah AlBaqarah melayang-layang seperti awan, teduhan atau payung. Ia berjalan dihadapan tuannya. Segala bahaya api neraka yang hendak mendatangi tuannya, ia akan menyekat dan mempertahankannya.
2. Barangsiapa membaca ayat 1 - 3 dari surah ini, dia akan mencapai kesihatan dari segala penyakit dan terselamat dari gangguan jin. - Ustaz Sharhan Safie


"Alif, Laam, Miim.  Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNYA.  DIA menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-Kitab suci  yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan DIA juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil."
3. Baca ayat 1-2 berulang-ulang kali, insyaAllah ia amat berkesan bagi jiwa orang yang sedang ditimpa musibah, kesusahan, kesempitan hidup kerana didalamnya terkandung Nama Allah Yang Agung.

Dibacakan ayat 1-2 ini seberapa banyak kepada orang yang sedang sakit, insyaAllah akan diampunkan dosanya.
4. Ayat 8 ialah doa yang hendaklah dibaca setiap kali selesai melakukan solat fardhu, insyaAllah pembacanya akan mati dalam beriman.


" Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNYA."
5. Dalam kehidupan seharian, kita banyak melakukan kesalahan dosa, terutama dosa-dosa kecil. Baca ayat 16 untuk memohon keampunan dari Allah SWT.


"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka."

6. Bacalah ayat 26 sebanyak 7 kali selepas solat Subuh dan 7 kali selepas solat Maghrib dan dijadikan amalan setiap hari. InsyaAllah, akan disediakan bagi orang yang mengamalkannya rezeki untuk membayar hutang-hutangnya.
 
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.”
- Riwayat al-Baihaqi




Katakanlah: "Ya Allah yang memiliki kerajaan! Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut (lenyapkan) kerajaan itu dari sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di dalam tangan (kekuasaan) Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu."
7. AYATUL MAHABBAH - Beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri, anak-anak, kaum kerabat, jiran-jiran, rakan-rakan, orang bawahan dan seumpamanya iaitu membaca surah Al Imran Ayat 31. Amalkan ayat ini setiap hari selepas menunaikan solat fardhu lima waktu.




Katakanlah ya Muhammad! "Jika kamu mengasihi Allah maka hendaklah kamu mengikuti aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Penyayang."
8. Jika mempunyai masalah perniagaan yang masih ‘tidak menjadi’, amalkanlah membaca ayat Surah Ali Imran Ayat 37, diamalkan ketika mengusahakan sesuatu dan dibacalah juga setelah solat fardhu.

"Ia daripada Allah." Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa-siapa yang dikehendaki-Nya dengan tiada terkira. 

9. Bacalah ayat 38 berulang-ulang kali khusus selepas solat dan ketika isteri sedang hamil, insyaAllah akan dikurniai seorang anak yang soleh.




"Ya Tuhan! Berilah saya dari sisi-Mu seorang anak yang soleh, sesungguhnya Engkau memperkenankan doa."
10. Ayat 53 adalah doa agar tergolong orang beriman. Amalkanlah membaca doa ini untuk dibangkitkan dalam rombongan Nabi Muhammad SAW pada hari akhirat kelak. Antara kelebihannya ialah jika diucapkan selepas solat sebelum berkata-kata dengan sesiapa, maka Allah SWT akan memasukkannya dalam doa setiap makhluk-Nya di lautan dan daratan. (tafsir al-Fakhrurrazi, tafsir ayat 53, surah Ali-Imran).




"Ya Tuhan! Kami beriman dengan apa yang Engkau telah turunkan dan kami ikut Rasul itu. Oleh sebab itu tuliskanlah kami beserta orang Syahidin (yang memberikan penyaksiannya atas kebenaran para Rasul)."
11. Bacakan Ayat 83 untuk melembutkan hati. Baca 3x dan tiupkan kepada orang atau air untuk di minum.




"Mengapakah mereka menghendaki agama yang bukan agama Allah? Padahal telah berserah (tunduk) kepada-Nya semua orang yang di langit dan di bumi dengan sukarela atau terpaksa, dan kepada Allah mereka kembali."
12. Ayat 173 adalah doa apabila menghadapi tekanan / stress. Baca ayat ini sebanyak mungkin sebagai zikir – InsyaAllah hati akan menjadi tenteram.



Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami).
13. Barangsiapa yang ingin supaya isterinya mudah bersalin, bacalah ayat 191 sebanyak 3 kali pada pusar isterinya sambil diusap-usap dengan tangannya ketika hendak tidur, lakukan amalan ini sehingga ia bersalin, insyaAllah Tuhan SWT memudahkannya.



Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.
14. Ayat 193 & 194 adalah doa mohon keampunan dan dijauhkan dari segala kejahatan.




15. Amalan Rasulullah saw. selepas solat Tahajjud membaca doa ayat 190-194 kerana ketika itu adalah salah satu waktu doa dikabulkan oleh Allah SWT. Selepas membaca ayat ini, mintalah kepada Allah SWT segala sesuatu yang diinginkan, baik untuk keperluan dunia mahupun akhirat, insyaAllah akan dikabulkanNYA.
Ayat 190 - 194 dan Ayat 199 dibacakan pada air dan diberi minum pada yang bermasalah rumahtangga sebagai perukun rumahtangga.


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;   (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.   Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang Penolong pun;  Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah mendengar seorang penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti. Wahai Tuhan kami! berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji".



"Dan sesungguhnya di antara ahli kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya."


16. Ayat 200 ditulis pada roti lalu diberikan untuk dimakan perempuan yang biasa keluar rumah tanpa izin, maka insyaAllah menjadi baik, dan tidak lagi keluar tanpa izin.

Ayat 200 ini juga diamalkan untuk mengurangkan panas baran suami dan mengujudkan kasih sayang.

Ayat 200 ini merupakan doa untuk jadi orang yang penyabar. Selepas habis ayat, sebut “Allah Ya- Sabur, Ya-Sabur” berulang kali.

Ayat 200 elok diamalkan untuk ketenteraman keluarga duduk di rumah. Caranya :- Dibaca 3 kali selepas solat fardhu.

Ayat 200 dan Ayat 19 Surah As-Shura dibaca dan dicium atau ditiup pada ubun-ubun anak. Boleh juga ditiup pada air dan masakan. Sebutkan nama anak satu persatu dan ucapkan harapan pada anak semuga dapat mendidiknya dan membantu anak untuk berubah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

As-Syuura; Ayat 19. "Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; DIA memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Walk To Remember Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah